IPOH: Tidak dapat dinafikan jolokan ‘Pekan Hipster’ yang diterima bandaraya Ipoh ada kaitan dengan kewujudan banyaknya kafe-kafe moden yang menampilkan hiasan dalaman berkonsep hipster, unik dan santai sehingga menjadi popular dan tumpuan remaja atau lebih dikenali dengan generasi ‘Y’.

Walaupun lokasinya bertaburan, namun kafe yang menggunakan bangunan-bangunan lama bersejarah sebagai premis perniagaan sepertimana yang terdapat di kawasan pekan lama Ipoh merupakan yang paling gemar dikunjungi.

Daya tarikan kafe ini adalah disebabkan dekorasi dalaman yang kebiasaanya ‘simple’ dan ‘cool’ di samping mempunyai ciri-ciri ala vintaj serta antik yang dikekalkan.

Bagi golongan anak muda, kafe seperti memang dicari untuk dijadikan tempat mereka melepak dan bersembang selain mahu mencuba menu baru dan pelbagai yang diketengahkan pengusaha.

Sesuatu yang ketara apabila ramai anak-anak muda hari ini menjadikan media sosial seperti Instagram untuk memuat naik gambar mereka ketika berada di kafe hipster.

Gambar yang ditonjolkan selalunya bertujuan berkongsi kelainan yang ada di kafe tersebut sama ada keunikan dekorasi mahupun makanannya.

Trend memuat naik gambar dan momen bersama rakan-rakan di tempat-tempat begini di media sosial seolah-olah sudah menjadi satu budaya sehingga ia menyaksikan permintaan bagi kafe hipster melonjak secara mendadak.

Di sebalik kegilaan anak muda terhadap kafe hipster, topik yang tidak dapat dielak daripada diperbualkan adalah tentang harga makanan dan minuman yang dikenakan pengusaha.

Ada yang berpendapat apa yang mereka bayar berpatutan tetapi ramai juga yang merasakan harga makanan dan minuman di tempat sebegini agak mahal dan hanya sesuai bagi golongan berpendapatan selesa.

Walaupun agak mahal, kafe ini sering dikunjungi anak muda.

Persoalannya, sejauh mana kemampuan anak-anak muda mengekalkan gaya hidup hipster mereka lebih-lebih lagi dalam suasana kos sara hidup yang semakin meningkat.

Apakah mereka rasa apa yang mereka bayar berbaloi?

Salah seorang pengunjung kafe hipster tegar, yang hanya ingin dikenali sebagai Muaz, mengakui beliau gemar mengunjungi tempat makan yang bersifat moden dan santai lengkap dengan alunan muzik Inggeris atau Perancis lama berkonsepkan instrumental.

“Saya gemar ke kafe hipster kerana makanan yang disediakan rata-ratanya jenis ringkas dan paling penting makanan yang sampai di meja pelanggan dihiasi cantik dan menarik. Setiap kali ke kafe hipster saya akan ambil gambar makanan untuk dijadikan koleksi. Ini hobi saya. Mungkin kerana saya adalah mengambil bidang Fotografi.

Gambar-gambar ini kemudiannya saya akan muat naik dalam Facebook dan Instagram dan ia sering dapat maklum balas dan dikongsi. Ada antara makanan itu jadi popular setelah dikongsi ramai gambarnya. Ramai tidak percaya kesemua makanan dihidangkan oleh kafe-kafe hispter di Ipoh.

burps nad giggle

“Jadi, saya rasa tidak sesuai untuk saya komen tentang harga kerana apa yang saya cari adalah keunikan makanan. Namun saya akui harga makanan agak mahal.

“Tapi bila kita fikir logik, tuan punya kedai mungkin ada sebab kenapa letak harga mahal. Jika kita perhatikan makanan yang dihidangkan menggunakan bahan mentah yang diimport. Mungkin juga harga tinggi disebabkan sewa kedai juga agak tinggi,” katanya.

Suara Perak juga sempat menemuramah salah seorang pemilik kafe berkonsepkan hipster yang menempa nama di kalangan warga Ipoh sejak tahun 2014.

Azril Aryandi Zambri, 29, yang merupakan pemilik kafe Konda Kondi di Jalan Sultan Idris Shah menegaskan lebih gemar mengenakan harga berpatutan tetapi tidak akan berkompromi dengan kualiti makanan.

Katanya, pemilihan kafe hipster bergantung kepada individu masing-masing dan keenakan serta citarasa makanan yang disediakan itu amat subjektif kepada deria rasa seseorang.

“Ada orang kata makanan di kafe ini sedap, bila orang lain datang mereka kata biasa-biasa sahaja, Ada juga pelanggan yang datang sekali sahaja apabila mereka merasakan harga kafe agak mahal.

“Kalau kita lihat hari ini, hanya kafe yang meletakkan harga mampu dibayar orang ramai dengan makanan sedap sahaja mampu bertahan, sebab pastinya pelanggan akan datang balik,” katanya.

Ditanya mengenai beberapa kafe ala hipster yang kini gulung tikar di sekitar Ipoh, Azril secara ringkas menekankan bahawa kuasa pembelian ada di tangan pengguna atau pelanggan sendiri.

“Ringkas sahaja sebenarnya, jika tak ada pelanggan datang maka tak ada untung sesuatu bisnes itu. Maka itu adalah punca ia tutup,”katanya.

Sejak pembukaan Konda Kondi pada tahun 2014, Azril mengakui perniagaanya juga tidak terlepas mengalami keadaan pasang dan surut.

Beliau berkata naik turun perniagaan adalah sebahagian daripada cabaran orang berniaga.

“Banyak bezanya kerja makan gaji, berniaga ada risiko dan selagi tak gagal maka kita tidak akan mempelajari sesuatu dan susah untuk berjaya.

“Bukan semua benda kita boleh belajar dari buku, atau dengan nasihat sahaja, kena alaminya sendiri dan pengalaman sangat penting dalam melakukan bisnes, kita kena berani mencuba, itu nasihat saya kepada golongan muda hari ini,”katanya lagi.

planb