IPOH: Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perak, pada tahun 2018 hingga 2018, jumlah kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak yang dilaporkan adalah sebanyak 1,141 kes.

Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Wong May Ing, statistik itu menunjukkan trend meningkat dari setahun ke setahun.

Menurutnya, pada tahun 2015, terdapat 183 kes yang direkodkan, meningkatkan kepada 299 pada 2016, seterusnya 318 kes pada 2017 dan 341 kes tahun lalu.

“Mengikut laporan JKM, semua kes ini merangkumi unsur penderaan dan telah dianalisis dan dimasukkan dalam pelbagai kategori, termasuk penderaan fizikal, emosi, seksual serta pengabaian ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, dengan bantuan JKM, kerajaan negeri telah mengenal pasti bahawa punca utama yang menyebabkan kes penderaan kanak-kanak adalah perbalahan dalam keluarga.

May Ing berkata, bagi menangani isu penderaan kanak-kanak, kerajaan negeri Perak telah bertekad menerbitkan buku panduan keselamatan dan perlindungan diri kanak-kanak sejak tahun lalu.

Buku panduan itu yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di sini pada Rabu akan diedarkan ke sekolah-sekolah rendah di seluruh negeri.

Beliau memberitahu, sebanyak 540,000 naskah buku panduan itu telah dicetak dan 373,000 daripadanya akan diagihkan kepada 1,102 buah sekolah manakala bakinya kepada jabatan kerajaan, pusat jagaan kanak-kanak dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Cetakan tersebut meliputi empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil manakala bahasa Inggeris pula akan disediakan dalam bentuk atas talian sahaja,” ujarnya.

Menurutnya, buka tersebut berunsur mesra kanak-kanak supaya maklumat yang ingin disampaikan dapat difahami dengan mudah dan berkesan.