SUNGKAI: Seramai empat mangsa terpaksa dipindahkan berikutan paras air yang meningkat mendadak dalam kejadian banjir di Kampung Bikam, di sini pada petang Sabtu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Penguasa Bomba Herman Hamid berkata pihaknya menerima panggilan mengenai bencana banjir itu sekitar 7 petang dan segera ke lokasi.

Katanya, setibanya di lokasi pihaknya mendapati banjir kilat itu berlaku susulan hujan lebat yang berterusan dan limpahan air sungai yang berdekatan.

“Seramai empat mangsa terdiri daripada seorang lelaki warga emas,dua wanita warga emas dan seorang remaja perempuan telah dipindahkan di Sekolah Kebangsaan Bikam,”katanya.

Menurut Herman,pihaknya kini masih dalam operasi pemantauan dan perkembangan situasi banjir dibuat dari masa ke semasa.