WANITA tergamam apabila terlihat cermin tiba-tiba ‘muncul’ menerusi tingkap bilik air rumahnya dalam kejadian di Tudan, Miri, semalam.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa yang berusia 19 tahun ketika itu sedang mandi sebelum menyedari diintai oleh seorang lelaki.

Sumber memberitahu NSTP, mangsa kemudiannya meminta abangnya memeriksa keadaan di luar rumahnya sebelum menemui seorang lelaki berusia lingkungan 50-an sedang bersembunyi.

“Selepas didesak, suspek yang juga jiran mangsa itu mengakui mengintai mangsa dengan menggunakan cermin berkenaan,” katanya.

Katanya, keluarga mangsa kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

“Sejurus menerima laporan suspek ditahan polis di kediamannya pada 2 petang hari sama,” katanya.

Katanya, suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 447 Kanun keseksaan – hmetro