IPOH– Ketika usianya lapan tahun, dia sudah menunjukkan bakat mengelecek bola di padang, di mana ramai kanak-kanak perempuan lain yang sebaya dengannya masih tidak lekang dengan permainan di gajet dan anak patung.

Kini Nur Aleeya Redzuan sudah menginjak umur 11 tahun dan serius menjadikan hobi itu sebagai batu loncatan sekaligus merebut peluang menjalani latihan antarabangsa selama dua minggu di Barcelona, Sepanyol.

Kanak-kanak cilik yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Ampang itu adalah antara 32 peserta Astro Kem Bola anjuran Astro Kasih yang mensasarkan kanak-kanak berumur di antara 10 hingga 12 tahun bagi menimba pengalaman dalam sukan itu di Kelab Barcelona pada 22 November ini.

Menurut bapanya, Redzuan Ahmad, tingkah laku anaknya yang cenderung bertanyakan perihal bola sepak umpama memberi petanda bahawa dia sememangnya berbeza dengan tiga adik beradik lain.

“Mula-mula dia boleh minat dengan bola sepak asalnya dari televisyen, Liga Inggeris dan dia akan tanya siapa pemain-pemain yang dia minat, ketika itu sekadar bertanya dan belum bermain.

“Secara kebetulan di tempat kerja isteri saya di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ada kumpulan sukan dan serapkan dia sebagai pemain tunggal wanita, dari situ dia belajar teknikal, cara main bola dan terlibat dengan kejohanan dari situ.

“Kebetulan pula Astro Kasih ada tawarkan peluang untuk sertai kem ke Barcelona, ia satu peluang sangat hebat untuk anak saya, halangan yang dia tempuhi akhirnya berjaya apabila terpilih dari puluhan peserta lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di SK Seri Ampang, di sini pada Jumaat.

Sementara itu, ibu kepada Nur Aleeya, Aini Azlinda Hamzah komited untuk memberi peluang kepada anaknya meneruskan cita-cita sebagai pemain bola sepak profesional suatu masa nanti.

“Selalu perempuan suka main anak patung kan? Tapi dia lebih minat kepada bola, masa darjah dua dia cakap nak main bola dan sampai sekarang minat itu melekat, ikut bakat yang ada pada ayahnya juga sewaktu muda-muda dulu.

“Bagaimanapun saya akan tegur apa yang patut supaya dia seimbangkan bola dan pelajaran, saya nasihatkan pada dia kalau nak berjaya, pelajaran jangan abaikan. Kalau ada peluang untuk dia ke sekolah sukan, saya akan sokong,”ujarnya.

Bagi empunya badan sendiri, Nur Aleeya mengakui dirinya teruja dan gembira dengan peluang yang diberikan, selain perlu menggalas tanggungjawab serta harapan yang diberikan kepadanya.

“Cita-cita saya hendak jadi pemain bola yang handal, terima kasih kepada cikgu, ibu ayah dan jurulatih dan Astro Kasih kerana menyokong serta beri peluang kepada saya, tak sabar rasanya untuk bertemu kawan-kawan lain di Barcelona,”kata Nur Aleeya yang mempunyai pasangan kembar seiras.