KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir melahirkan rasa dukacita dengan masalah sosial dan jenayah yang tinggi dalam kalangan umat Islam di negeri ini.

Titah baginda, polis dan agensi penguat kuasa berusaha sedaya upaya memberi kesedaran kepada masyarakat untuk membanteras jenayah.

“Statistik menunjukkan lebih 90 peratus tangkapan kes penyalahgunaan dadah adalah orang Islam terutamanya di kawasan FELDA di Jempol.

“Selain itu, daripada 83 kes rogol yang dilaporkan sepanjang tahun ini, 64 tangkapan adalah individu beragama Islam.

“Jenayah sumbang mahram pula menunjukkan sembilan daripada 10 kes adalah mereka yang beragama Islam. Laporan yang dibentangkan kepada Lembaga Pengampunan Negeri menunjukkan sumbang mahram terjadi antara abang dan adik kandung, bapa dan anak serta lebih mengejutkan datuk dengan cucu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pentauliahan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Ahli Perbadanan Baitulmal, Ahli Jawatankuasa Fatwa, Jabatan Kehakiman Syariah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Turut mengiringi baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin.

Tuanku Muhriz turut bertitah menyeru jabatan berkaitan supaya melihat keperluan yang mampu menambah baik perjalanan dan pengurusan agama Islam.

“Antara keperluan yang mendesak ialah pembinaan bangunan baharu dan penambahan bilangan hakim serta pegawai untuk mahkamah syariah di negeri ini.

“Hakim dan pegawai syariah tidak ditambah sejak 10 tahun lalu sedangkan kes syariah semakin meningkat.

“Antara isu yang harus didedahkan kepada masyarakat umum ialah status perkahwinan bawah umur menurut Islam yang menjadi kontroversi baru-baru ini.

“Jabatan kerajaan bertanggungjawab mengeluarkan penerangan dalam bahasa mudah difahami semua kaum mengenai cara pentadbiran Islam di negeri ini. Dengan itu, semua mengetahui Islam berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan sentiasa mempertimbangkan kebajikan sebelum keputusan atau tindakan diambil,” titah baginda.

Baginda juga berharap generasi muda didedahkan dengan pendidikan moral dan akhlak supaya mereka menjadi generasi bertanggungjawab pada masa hadapan.

“Beta berharap pihak yang berkaitan dapat melihat dengan serius perkara ini dan memulakan perancangan seawal mungkin untuk membuat penambahbaikan kepada pendidikan sedia ada termasuk pendidikan khas kepada pelajar Islam,” titahnya – berita harian