IPOH: Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim mengekalkan kejuaraannya dalam Ujian Kemahiran Menembak Lima Penjuru anjuran Istana Perak di Lapang Sasar, Padang Tembak di sini, hari ini.

Baginda dinobatkan sebagai penembak terbaik bagi kategori Centre Fire Individu, yang dipertahankan sejak tahun 2012.

Dalam masa yang sama pasukan Istana Perak yang diketuai oleh baginda meraih Johan Keseluruhan sekaligus membawa pulang Piala Pusingan Ujian Menembak Lima Penjuru bagi tahun ini.

Acara tahun ini mendapat penyertaan dari pasukan Istana Perak, Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) Perak, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI).

Terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu Centre Fire Individu dan Falling Plate.

Pasukan BAKAT A muncul johan kategori Falling Plate disusuli dengan tempat kedua BAKAT B dan Istana A di tempat ketiga.