KUALA KANGSAR: Sekitar 230 ahli Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) dari seluruh Malaysia diraikan dalam Majlis Minum Petang penuh istiadat di Istana Iskandariah pada petang Isnin.

Berkenan meraikan kesemua wanita berkaliber itu, adalah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang hadir memeriahkan majlis santapan bersama dengan barisan lembaga pengarah LKPIM kebangsaan.

Meskipun ringkas, juadah Cucur Udang dan Cendol, Char Kuey Teow dan Mee Goreng Mamak malah kuih-muih tradisional ternyata menarik selera makan kesemua hadirin dalam majlis ringkas namun bermakna itu.

Baik yang dekat mahupun jauh, aktiviti santapan penuh santai LKPIM yang menghimpunkan barisan pemikir dan pejuang hak wanita Islam di Perak pada kali ini jelas dapat mengeratkan hubungan sesama ahli dari seluruh Malaysia.

Tambahan pula, majlis diserikan dengan persembahan nasyid daripada barisan penyanyi muda yang didatangkan khas dari Padang Rengas ketika santapan sedang berjalan.

Selain itu, kesemua barisan wanita LKPIM itu turut meluangkan masa sehari suntuk dibawa meninjau sekitar Bandar Diraja Kuala Kangsar dan Bandaraya Ipoh sebelum meneruskan aktiviti makan malam di kediaman Menteri Besar.

Antara tetamu kehormat yang menyerikan Majlis Makan Malam itu adalah, Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, dan Yang Dipertua LKPIM, Tuanku Ampuan Najihah Almarhum Tuanku Besar Burhanuddin serta Pengerusi LKPIM Perhubungan Negeri Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli.