Oleh: Abd Razak Mohd Ali

IPOH: Kerajaan negeri Perak akan menubuhkan entiti khas yang akan bertanggungjawab memastikan pelaksanaan dan mengawal selia Pangkor sebagai pulau bebas cukai.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, entiti itu masih dalam peringkat perbincangan, sama ada dalam bentuk lembaga atau yang entiti lain yang sesuai.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk memperincikan lagi kaedah pelaksanaan, termasuk pengendalian Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

“Dalam pada itu, kerajaan negeri juga dicadangkan supaya mewujudkan suatu lembaga ataupun satu kaedah yang akan menjadi entiti pengawasan Pangkor sebagai pulau bebas cukai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau turut mendengar taklimat daripada beberapa pihak mengenai pelaksanaan pulau bebas cukai, termasuk daripada Ketua Pengarah JKDM, Datuk T. Subromaniam.

Dr Zambry berkata, kerajaan negeri akan mengkaji model yang digunakan di pulau-pulau bebas cukai lain seperti Langkawi, Labuan, Tioman dan Tasik Kenyir.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mendapatkan bimbingan daripada MOF dalam melaksanakan idea tersebut dan akan membuat keputusan sama ada menubuhkan sebuah lembaga yang diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang melibatkan sebuah enakmen baru atau satu kaedah lain.

Bagaimanapun, kata beliau, sekiranya kerajaan negeri memutuskan untuk menubuhkan sebuah lembaga, ia tidak sempat dibentangkan di dalam sidang DUN tahun ini kerana ia memerlukan sedikit masa.

Beliau menambah, apabila status bebas cukai itu dilaksanakan, kedudukan Pangkor juga akan menjadi pulau bebas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Beliau menjelaskan, walaupun status bebas cukai itu tidak termasuk tembakau dan arak, sebenarnya terlalu banyak barangan yang boleh diperdagangkan, seperti barangan elektrik, pinggan mangkuk, aksesori, pakaian dan minyak wangi.