NILAI: Seorang lelaki maut dalam keadaan ngeri apabila digilis beberapa kenderaan menyebabkan tubuhnya hancur dalam kemalangan di Kilometer 274.3, Lebuhraya PLUS, arah utara, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, G Muniandy, 50, sedang melintas jalan menuju ke R&R itu kerana motosikal yang ditunggangi kehabisan petrol.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata mangsa dilanggar sebuah kereta Perodua Myvi dari arah Seremban menuju Nilai yang tidak menyedari mangsa melintas jalan.

“Kereta itu yang berada di lorong paling kanan tidak sempat mengelak lalu merempuh lelaki berkenaan.

”Mangsa tercampak di atas jalan sebelum digilis beberapa kenderaan lain,” katanya.

Keadaan kemalangan, seorang lelaki maut digilis beberapa kenderaan menyebabkan tubuhnya hancur dalam kemalangan di Kilometer 274.3, Lebuhraya PLUS, arah utara, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban. – Foto ihsan PDRM

Mohd Nor Marzukee berkata, kejadian itu menyebabkan seluruh tubuh mangsa hancur.

“Pihak polis yang menerima panggilan orang awam bergegas ke lokasi.

“Dibantu pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), pihak berkuasa mengambil masa lebih dua jam bagi mengutip cebisan tubuh mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu Perodua Myvi berkenaan, A Tharmendra, 30 mengalami kecederaan di tangan,” katanya.

Menurut Mohd Nor Marzukee, pihaknya turut menemui motosikal milik mangsa yang diletakkan 30 meter dari lokasi kejadian selain sedang mengesan ahli keluarganya yang menetap di Mantin, di sini – berita harian

Keadaan kemalangan, seorang lelaki maut digilis beberapa kenderaan menyebabkan tubuhnya hancur dalam kemalangan di Kilometer 274.3, Lebuhraya PLUS, arah utara, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban. – Foto ihsan PDRM