IPOH: Seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan apabila anggota badannya hancur digilis tren elektrik (ETS) di Kilometer 167.5 landasan kereta api di Tasek dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kira-kira jam 5.20 petang, kapten ETS berkenaan memaklumkan terlanggar sesuatu di lokasi sebelum berhenti di Stesen Tasek untuk membuat pemeriksaan tetapi tidak menemui apa-apa unsur kemalangan.

Menurutnya, pengawal keselamatan di lokasi berkenaan kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut dan menemui tangan manusia sebelum membuat laporan polis.

“Pemeriksaan di sepanjang landasan bermula dari Kilometer 175 hingga 165 menemui sebahagian cebisan kaki dan tangan manusia serta satu seluar hitam di tengah landasan, turut ditemui kad pengenalan mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Ali berkata, berdasarkan kad pengenalan itu, mangsa dipercayai seorang lelaki berumur 21 tahun yang beralamat di Kampung Temiang, di sini.

Menurutnya, cebisan daging yang dikutip kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tindakan lanjut.

Pihak pihak polis turut menemui mata mangsa yang tersangkut di tepi besi ETS dan menyerahkannya kepada Jabatan Forensik HRPB.

Katanya, cebisan daging yang ditemui sudah disusun tetapi jasad mangsa tidak ditemui sepenuhnya kerana sudah hancur digilir ETS berkenaan.

Menurut Mohd Ali, temu bual dengan ibu mangsa mengesahkan seluar yang ditemui milik anaknya dan polis akan mendapatkan penjelasan dari kapten ETS mengenai kemalangan itu.

“Mayat mangsa masih belum diserahkan kepada ahli keluarga disebabkan masih menunggu keputusan cap jari,” ujarnya.

Setakat ini polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.