ALOR GAJAH: “Tubuh saya menggeletar menyaksikan buaya sepanjang kira-kira 2.5 meter naik ke tebing sungai semasa sungai mula melimpah akibat hujan lebat.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana haiwan liar itu hanya naik di tebing seberang sungai dan tidak menjengah di tebing sebelah taman ini,” kata Nurul Ain Ali, 31.

Nurul Ain yang mengajar di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Seri Permata, di Taman Wira Indah, Lubok Cina, di sini, berkata kira-kira jam 12 tengah hari semalam, secara tiba-tiba dia terlihat objek bergerak memanjat tebing sungai.

Selepas diteliti, ternyata objek itu adalah buaya yang dipercayai dari Sungai Rembau, sebelum segera memanggil dua rakannya dan kira-kira 15 pelajar lain untuk menyaksikan reptilia terbabit.

Katanya, sebelum ini dia tidak pernah menyaksikan buaya naik ke tebing di seberang sungai berkenaan dan kejadian semalam dipercayai berlaku berikutan air naik secara mendadak.

“Sebelum ini saya hanya pernah mendengar cerita orang sungai ini memang ada buaya tetapi haiwan itu lebih gemar bermain di sebelah Kuala Linggi yang bersambung dengan sungai ini.

“Saya berdoa supaya buaya tidak naik ke tebing sungai di sebelah taman ini kerana bimbangkan keselamatan kami,” katanya ketika ditemui di PDK berkenaan, hari ini.

Mengulas lanjut, Nurul Ain berkata, buaya terbabit dilihat bersidai di tebing berkenaan kira-kira 10 minit sebelum menyelam semula ke dasar sungai.

Seorang penduduk di Taman Wira Indah, Abdul Hadi Abu Kassim, 55, berkata buaya amat jarang naik ke tebing di seberang sungai yang dipenuhi dengan pokok bakau tetapi kejadian semalam dipercayai berlaku berikutan air sungai yang meningkat di hulu sungai.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHLITAN) Melaka ketika dihubungi berkata, Sungai Rembau adalah antara habitat semula jadi buaya yang kebanyakannya lebih banyak berada di Kuala Linggi.

Sehubungan itu, dia meminta penduduk taman berkenaan dan kampung lain yang berhampiran dengan kawasan tebing supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan tebing sungai.

“Setakat ini kita belum menerima laporan mengenai masyarakat diserang atau dibaham buaya di sungai berkenaan,” katanya – berita harian