SUNGAI SIPUT: Pemuda MIC Bahagian Sungai Siput menjadi contoh Pemuda Bahagian MIC pertama di negara ini apabila melancarkan pasukan task force bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pelancaran telah disempurnakan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Siput, Datuk Zolkafly Harun yang juga ADUN Lintang di Dewan Kovensyen Taman Tun Sambanthan, Sungai Siput pada Ahad.

Menurut Ketua Pemuda MIC Bahagian Sungai Siput, Neruji Muniandy, pelancaran pasukan itu bukan sahaja untuk menarik seramai mungkin pengundi baharu di kalangan belia bagi memastikan kemenangan BN pada PRU-14, malah membawa perubahan di kawasan Parlimen itu.

“Matlamat kami ialah untuk mengembalikan semula Parlimen Sungai Siput dan DUN Jalong yang dikuasai pembangkang kepada Barisan Nasional dalam PRU-14.

“Maka Pemuda MIC Sungai Siput merasakan ini merupakan peluang untuk menjadikan pelancaran pasukan task force ini sebagai platform untuk membawa perubahan kepada rakyat di Parlimen Sungai Siput,’’ katanya.

Menurut beliau, dengan penubuhan pasukan task force itu, pihaknya telah berjaya membawa 500 pengundi baharu terdiri dari golongan belia untuk menganggotai pasukan berkenaan.

Sementara itu Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, selepas Sungai Siput pelancaran pasukan task force itu akan dikembangkan ke kawasan-kawasan Parlimen dan DUN yang diwakili MIC.

MIC 1

“Kita ada lebih kurang 800,000 belia India, daripada angka itu lebih kurang 40 peratus merupakan pengundi-pengundi di PRU akan datang dan KPI saya adalah untuk mengembalikan sekurang kurangnya 60 peratus pengundi India di seluruh negera kepada Barisan Nasional.

“Saya telah aturkan segala program dan juga strategi di peringkat nasional dan juga bahagian sebagai persiapan menghadapi segala bentuk tohmahan pihak pembangkang menjelang pilihan raya umum nanti.

“Masalahnya mereka ini terikut-ikut segala macam tohmahan daripada media sosial media dan adalah menjadi tanggungajwab saya dan juga barisan Pemuda dengan kerjasama task force Pemuda MIC supaya menerangkan kepada mereka bahawa ini merupakan tohmahan dan juga berita berita yang tidak benar,’’ katanya