IPOH: Kerajaan negeri bercadang menubuhkan Perbadanan Stadium untuk menguruskan kemudahan sukan di seluruh negeri, bagi mengelakkannya menjadi gajah puteh selepas Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, pihaknya akan mengambil contoh penubuhan Perbadanan Stadium peringkat kebangsaan yang menguruskan Kompleks Sukan Bukit Jalil.

Menurut beliau, melalui perbadanan itu, kemudahan sukan yang dibina untuk SUKMA 208 boleh terus digunakan, bukan sahaja untuk tujuan sukan semata-mata.

Malah, kata beliau, kerajaan akan memastikan persediaan projek infrastruktur ini diselia terus oleh Jabatan Kerja Raya (JKR)

“Ini bagi membolehkan pihak JKR mengkaji aspek keperluan venue untuk dibaik pulih semula, dinaik taraf diselenggara atau dibuat pembinaan baru,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin (BN-Monjoi) pada sidang Dewan Negeri pada Isnin.

Menurut Shahrul, buat masa ini, antara infrastruktur yang giat memulakan kerja-kerja ialah Kompleks Renang yang telah mencecah 23 peratus dan dijangka siap Februari 2018.

Selain itu, katanya, Kompleks Lapang Sasar Menambak di Chepor telah memulakan kerja-kerja awalan pada Januari lalu dan dijangka siap Disember 2018, kompleks Badminton , Squash, Stadium Indera Mulia dan lain-lain infrastruktur.

“Kesemua venue yang terpilih untuk menyiapkan lokasi masing-masing sekurang-kurangnnya enam bulan sebelum SUKMA berlangsung untuk diuji dan dibuat pertandingan pra-SUKMA,” ujarnya.

Shahrul Zaman berkata, kerajaan telah menetapkan sasaran juara pada edisi SUKMA 2018.

Katanya, meskipun pencapaian negeri Perak pada edisi SUKMA yang lalu hanya mendapat tempat ke-12, adalah tidak mustahil untuk mencapai sasaran juara kerana Perak akan menjadi tuan rumah.