KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pembunuhan seorang model Mongolia, Altantuya Shariibuu, di Malaysia.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor dari DAP, Ramkarpal Singh, berkata langkah itu diyakini dapat mengenal pasti motif pembunuhan dan mengesan siapa individu yang selama ini bertanggungjawab memberi arahan membunuh wanita Mongolia itu.

Beliau berkata, mereka yang bersekongkol merancang pembunuhan itu mesti diheret ke muka pengadilan, tidak kira apa juga jawatan atau kedudukan bukti ditemui.

“Memandangkan kes ini sangat aneh, saya berpendapat bahawa jika disabit kesalahan Sirul (Azhar Umar) boleh dipenjara seumur hidup. Jadi, Sirul akan dihantar pulang ke Malaysia dari Australia. Selepas itu, Sirul akan dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukumannya.

“Apabila Sirul kembali ke tanah air, dia akan dipaksa untuk bekerjasama dalam siasatan berkenaan atau RCI dan jika perlu. Dia juga perlu tampil sebagai saksi bagi mendedahkan siapa yang mengarahkan pembunuhan Altantuya.

“Sirul tidak boleh ‘tawar-menawar’ tragedi yang ada kaitan terhadapnya. Dia mesti dihantar pulang ke Malaysia dengan cara yang dicadangkan supaya kes pembunuhan misteri ini dapat ditutup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ramkarpal berkata, sebab utama kerajaan Australia tidak mungkin mengekstradisi Sirul sekiranya permohonan untuk berbuat demikian dibuat, adalah kerana Sirul mungkin dijatuhi hukuman mati apabila kembali ke Malaysia.

Beliau yang juga seorang peguam menegaskan, ini kerana dasar Australia menentang pelaksanaan hukuman mati.

“Jika hukuman mati ditukar kepada penjara seumur hidup, kerajaan Australia pasti akan mengusirnya ke Malaysia untuk menjalani hukuman di sini,” katanya

Selain Sirul, beliau juga berharap penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dipanggil untuk menjadi saksi yang berpotensi dalam kes pembunuhan Altantuya.

Pada 4 Jun 2007, bapa dan ibu Altantuya, Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa, serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman terhadap Azilah, Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak dan Kerajaan Malaysia, menuntut pampasan RM100 juta.

Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006.

Sirul, 45, bekas anggota polis yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya pada 2006, hari ini, menawarkan diri untuk mendedahkan siapa yang mengarahkan pembunuhan wanita itu jika dia diberikan pengampunan penuh oleh kerajaan baharu Malaysia.

Sirul yang kini dalam tahanan di Brisbane, Australia, selepas melarikan diri dari negara ini pada 2015, menegaskan bahawa dia diarahkan oleh ‘individu penting’ untuk membunuh wanita itu.

Altantuya dibunuh dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera.

Kes pembunuhannya adalah aspek paling menggemparkan dalam skandal membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang didakwa terbabit dalam pembelian kapal selam Scorpene buatan Perancis pada tahun 2002 – berita harian