IPOH: Calon Melayu dari DAP, Abdul Aziz Bari diingatkan supaya membuat ‘homework’ terlebih dahulu sebelum menuduh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir sebagai pemalas.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, sebagai orang luar yang baru datang ‘dua tiga hari’ ke Perak untuk bertanding dalam pilihan raya, Abdul Aziz tidak sewajarnya melemparkan tuduhan sedemikian.

 

Zainol Fadzi Paharudin

“Mungkin dia (Abdul Aziz) hendak menjadi hero. Baru dua tiga hari di Perak sudah boleh menuduh orang pemalas. Dia bercakap seolah-olah sudah bertahun-tahun jadi wakil rakyat di Perak.

“Datang pun untuk bertanding pilihan raya. Bertanding di negeri sendiri pun kalah. Sekurang-kurangnya datanglah dengan tertib dan adab. Bukan dengan mengeji orang,’’ katanya ketika dihubungi Suara Perak  di sini hari ini.

Zainol Fadzi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Aziz Bari yang mendakwa Dr Zambry sebagai pemimpin yang malas dan tidak mengambil tahu kesusahan rakyat khususnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi.

 

 

Abdul Aziz akan bertanding DUN Tebing Tinggi pada Pilihan Raya Umum 9 Mei ini.

Menurut Abdul Aziz, jika dipilih menjadi wakil rakyat, beliau akan menyelesaikan masalah tanah di kawasan berkenaan yang bagi beliau sangat mudah untuk ditangani.

Zainol Fadzi memberitahu, tindakan Abdul Aziz itu memperlihatkan sikap sombong selain cuba menanam politik kebencian kepada rakyat.

Katanya, jika Abdul Aziz membuat sedikit kerja rumah, beliau akan menyedari kesungguhan Dr Zambry dalam menyelesaikan masalah rakyat termasuk melalui program Permukiman Menteri Besar di semua 12 daerah di Perak.

“Dalam kes tanah misalnya, tahun pertama menjadi menteri besar, Dr Zambry telah menyelesaikan ribuan kes tanah yang tertangguh selama bertahun-tahun. Perkara ini boleh diperiksa di pejabat-pejabat tanah.

“Adakah orang ini (Abdul Aziz) ada memeriksa fakta-fakta ini sebelum membuat tuduhan? Tentu tidak ada kerana dia hanya orang luar yang datang nak bertanding dalam pilihan raya. Itu saja,’’ ujar beliau.

Zainol Fadzi menambah: “Adalah amat menyedihkan bagi seseorang yang berstatus profesor boleh mengeluarkan kenyataan seperti ini, hanya kerana DAP memberikan kerusi selamat kepadanya, beliau terpaksa mengampu seperti ini.”

Tindak tanduk Abdul Aziz itu tegas beliau, mencerminkan sikap pembangkang yang gemar menabur janji manis bermodalkan air liur selain melemparkan tohmahan di pentas-pentas ceramah.