IPOH : Tuduhan kononnya pemberian kontrak penyelenggaraan jalan raya di bawah bajet Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) di negeri Perak dilakukan secara terus tanpa tender adalah satu andaian liar tanpa bukti.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Negeri Perak (BERSATU), Mohader Ahmad Mohd Ayob berkata tuduhan ahli BERSATU Bahagian Lumut, Syed Razif Syed Rabii terhadap isu ini dilihat seperti dipergunakan oleh pihak lain.

“Umum mengetahui hampir setiap hari wujud aduan mengenai kualiti penyelenggaraan jalan raya di negeri Perak di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Kerajaan Pakatan Harapan telah membuat keputusan tepat melantik syarikat konsesi yang berkemampuan menguruskan peruntukan MARRIS secara cekap.

“Rata-rata kontraktor yang rapat dengan kepimpinan Umno/BN ini memegang antara 10 hingga 20 lesen malah ada mencecah ratusan lesen dan akibatkan agihan kontrak berlegar di kalangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan menjawab tuduhan Syed Razif pada Rabu.

Tegasnya lagi, dia yakin ada “tangan yang bersembunyi” di belakang Syed Razif menerusi kenyataannya hari ini dan seolah-olah dipergunakan oleh pihak tertentu yang tidak berani tampil ke depan.

Sementara itu, Ketua BERSATU Bahagian Lumut, Nordin Ahmad Ismail turut mencabar Syed Razif untuk mengemukakan bukti bahawa proses lantikan itu telah mengakibatkan peningkatan kos penyelanggaraan bajet MARRIS.

Ujar Nordin, Syed Azif wajar menarik balik dakwaan atau bersedia untuk berdepan dengan tindakan undang-undang oleh pihak yang difitnah.

“Jika gagal berbuat demikian (kemuka bukti), ini bermakna dakwaannya adalah satu agenda peribadi untuk merosakkan imej kerajaan negeri dan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Pertikaian bahawa syarikat konsesi dilantik dilaporkan atas kesalahan rasuah juga tidak bermaksud ia terlibat dalam salah laku rasuah, kerana ia adalah dakwaan yang boleh dibuat mana-mana pihak,”katanya lagi.

Nordin berkata, langkah menambahbaik sistem penyelenggaraan bajet MARRIS oleh kerajaan PH Perak akan ditentang segelintir kontraktor yang sekian lama mengaut keuntungan besar hasil daripada menjadi ahli atau ada hubungan baik dengan Umno/BN.

Terdahulu pada Rabu, Syed Razif mendakwa kontrak penyelenggaraan di bawah bajet Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) Perak telah dihadiahkan kepada sebuah syarikat tanpa tender terbuka.

Syed Razif turut mendakwa penyelewengan bajet MARRIS itu dilakukan atas arahan pejabat Menteri Besar Perak dan sehingga kini Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Exco berkaitan gagal menjawab secara telus berhubung isu itu.