KUALA KANGSAR; Pihak berkuasa penerbangan awam di negara ini perlu mengambil tindakan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad kerana membuat tuduhan palsu, kononnya pesawat peribadi yang dinaikinya telah disabotaj.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, tuduhan itu sangat serius kerana ia boleh menjejaskan keyakinan dunia terhadap industri penerbangan negara.

Di samping itu, kata beliau, ia juga noleh menyebabkan kurang keyakinan dunia terhadap keupayaan negara mengawal tempat-tempat keselamatan.

Menurut beliau, industri penerbangan bukan hak mutlak sesebuah negara, sebaliknya ia saling berkait di seluruh dunia.

Tambahan pula, katanya, dalan keadaan sekarang, isu keselamatan sangat sensitif, lebih-lebih lagi dengan adanya ancaman daripada kumpulan pengganas seperti IS, yang turut mengancam keselamatan dunia.

“Jadi civil aviation sekarang ini sepatutnya melihat akta mereka kerana ini adalah serius dan kalau tidak, if we dont clear the air, maka ini akan menyebabkan dunia akan kurang keyakinan terhadap keupayaan kita untuk menjaga keselamatan civil aviation.

“This is serius. Saya betul-betul harap civil aviation kita akan ambil tindakan terhadap Mahathir kerana membuat satu tuduhan yang liar dan tidak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Perpustakaan Desa Kampung Bota Kanan dan Karnival Membaca di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Nafisah Ahmad dan calon DUN Lintang, Datuk Zolkafly Harun.

Sebelum ini Dr Mahathir mendakwa pesawat peribadi yang dinaikinya telah disabotaj oleh pihak tertentu.

Bagaimanapun, Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melaporkan tiada unsur-unsur sabotaj setelah pihak tersebut melakukan siasatan.

 

BERITA BERKENAANCalon MB: Boleh Berharap, Tapi Perlu Dapat Perkenan Tuanku Sultan Perak – Dr Zambry