IPOH: Segala tuduhan yang dilemparkan wakil rakyat pembangkang terhadap Menteri Besar Incorporated (MB Inc) adalah tidak berasas dan tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, MB Inc telah diurus secara berhemah dan telah membawa satu perubahan positif terhadap industri mineral.

Di samping itu, kata beliau, MB Inc turut menyumbang kepada rakyat melalui pelbagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Maka eloklah isu MB Inc ini tidak perlu dieksplotasi oleh pihak pembangkang melainkan mereka mempunyai maksud yang tersirat demi kepentingan politik mereka,” katanya pada sidang media sempena Sidang DUN pada Isnin.

Sehubungan itu, Zahir menyeru rakyat supaya menumpukan kepada pembangunan dan perubahan positif yang sedang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menolak provokatif politik mainan pembangkang yang langsung tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat.

Sidang media itu diadakan untuk memberi penjelasan terhadap tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan pembangkang, khususnya Nga Kor Ming (DAP – Kepayang) yang dikatakan cuba mengelirukan rakyat.

Antara tuduhan pembangkang ialah MB Inc tidak telus dan tidak berintergriti; tidak berkemampuan mengurus; diberikan tanah dan aset yang besar; diberikan keistimewaan melebihi agensi lain; mempunyai liability; tidak menyumbang kepada negeri & rakyat dan bersaing dengan pemain industri lain dalam bidang batu-batuan, mineral dan hartanah.

Zahir memberitahu, akaun MB Inc dan anak syarikatnya telah diaudit oleh juruaudit bertauliah dan anak-anak syarikatnya yang menjalankan operasi telah ditubuhkan di bawah Akta Syarikat dan diaudit juruaudit bertauliah setiap tahun dari mula beroperasi.

“Mengikut enakmen MB Inc, tidak ada keperluan dan kewajipan MB Inc untuk membentangkan laporan audit kepada Dewan sepertimana CM Inc Pulau Pinang dan MB Inc negeri-negeri lain.

“Perkara ini turut diakui oleh ahli parlimen pembangkang PKR dari Kelana Jaya sewaktu beliau membuat laporan awal berkaitan DEI pada 2015.

“Ahli parlimen DAP dari Serdang juga mengakui perkara ini di dalam kenyataan medianya pada 7 September 2015,” ujarnya.

Beliau menambah, isu pembentangan penyata kewangan dan audit MB Inc pernah menjadi isu Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2015, namun, sehingga kini tiada pembentangan yang dibuat.

“Kenapa isu ini dipermainkan di sini bila mana isu yang sama tidak diselesaikan di negeri yang diperintah oleh pembangkang? MB Inc di Selangor dinyatakan mempunyai aset bernilai antara RM20 bilion hingga RM30 bilion dan telah lama beroperasi, berbanding MB Inc Perak yang baru sahaja mula beroperasi,” kata beliau.

Dalam sama sama, beliau turut mempersoalkan bagaimana dengan CAT (competency, accountability & transparency) apabila CM Inc Pulau Pinang sendiri tidak pernah membuat apa-apa laporan, malah tiada sebarang maklumat yang dapat diperolehi berkenaan perbadanan itu, samada melalui media cetak, mahupun media elektronik dan sosial.

Zahir memberitahu, sejak diaktifkan lima tahun lalu, MB Inc telah menyumbang sebanyak RM53.7 juta kepada pendapatan negeri di samping RM4.5 juta sumbangan dalam bentuk CSR dan zakat