KUALA KANGSAR: Dunia globalisasi hari ini menjadikan tugas guru semakin mencabar kerana mereka bukan lagi menjadi sumber rujukan utama para pelajar.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sumber rujukan pelajar sekarang telah berubah kepada telefon pintar.

Bagaimanapun, kata beliau, agak malang apabila maklumat yang diperolehi melalui telefon pintar tidak semuanya benar.

drzambry-clifford 2

“Sebab itu, tugas guru hari ini lebih mencabar untuk memberitahu anak-anak murid, mana yang betul, mana yang palsu,” katanya ketika berucap melancarkan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Kangsar & Kempen Sekolah Yang Bersih Peringkat Negeri Perak di Dewan Hamdan, SMK Cliford di sini pada Rabu.

Sambil mengucapkan “Selamat Hari Guru” dan “Terima Kasih Cikgu”, Dr Zambry berkata, secara peribadi, beliau mengakui gurulah yang telah mencetuskan daya juang dan semangat yang tinggi di dalam diri beliau.

“Walaupun mereka mungkin tidak mempunyai keistimewaan, tetapi jasa guru sentiasa dikenang dan tidak boleh dihitung,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap guru-guru akan meneruskan usaha mendidik anak bangsa menjadi manusia yang berguna, baik melalui pendidikan formal mahupun secara tidak formal.