LUMUT 27 Julai – Polis menahan tujuh lelaki dipercayai terlibat dalam kes penipuan cabutan bertuah gandakan wang di Taman Pantai Gemilang, Pantai Remis di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, kesemua suspek yang berusia antara 22 dan 31 tahun di tahan di sebuah inap desa di Pantai Remis pada pukul 11.30 malam Rabu lalu.

“Hasil siasatan, polis merampas wang tunai sebanyak RM57,000, empat buah beg dan lapan buah telefon bimbit.

“Turut dirampas dua buah kereta yang digunakan suspek di hadapan inap desa tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, di sini hari ini.

Menurut Muhammad Hanif, kumpulan berkenaan menyasarkan warga emas, suri rumah serta wanita sebagai mangsa dan menjalankan kegiatan tersebut tidak hanya di satu tempat sahaja.

Katanya, modus operandi yang digunakan suspek ialah memperdaya mangsa supaya menyertai peraduan cabutan bertuah dan menggandakan wang.

“Mangsa diberi sampul surat yang mengandungi kupon isi minyak dan wang lebih kurang RM100 dan meminta mangsa membukanya.

“Mangsa akan diberitahu telah menang cabutan bertuah dan jika mengisi minyak di mana-mana stesen mangsa akan dapat wang lebih kurang RM200,” ujarnya.

Muhammad Hanif berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula 26 hingga 29 Julai ini.

Katanya, siasatan masih lagi dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Majoriti suspek mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes penipuan yang sama,” – UTUSAN ONLINE