KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah sehingga kini sudah menangkap tujuh gajah yang menceroboh kawasan kampung, sekolah dan balai polis di Telupid, sejak awal tahun ini.

Setakat ini, lima gajah dipindahkan ke Hutan Simpan Imbak manakala dua lagi dalam proses untuk pemindahan.

Pengarahnya Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata enam gajah, masing-masing tiga jantan dan betina ditangkap antara 22 Februari hingga 5 Mac lalu manakala yang terbaru, seekor gajah betina berjaya ditangkap semalam.

“Dua gajah yang ditangkap semalam dan Isnin lalu kini dalam proses untuk dipindahkan, kemungkinan ke Hutan Simpan Deramakot,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengenai kos operasi setakat ini, Augustine berkata, setiap gajah yang dipindahkan dianggar membabitkan kos RM30,000.

“Bagaimanapun, kami ada juga menerima banyak bantuan daripada individu dan syarikat swasta, termasuk makanan untuk gajah sementara menunggu proses pemindahan,” katanya.

Pada Februari lalu, media pertama kali melaporkan beberapa kampung di Telupid didatangi sekumpulan 20 ekor gajah sejak awal tahun ini.

Konflik manusia-gajah semakin meningkat di kawasan itu dengan insiden terbaru pada minggu lalu, di mana hidupan liar itu dua kali memasuki kawasan Balai Polis Telupid selain menceroboh dewan makan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid.

Minggu lalu, seorang kakitangan Jabatan Hidupan Liar cedera selepas terjatuh ke dalam gaung ketika cuba melarikan diri daripada gajah berhampiran kawasan sekolah – berita harian