SHAH ALAM: Polis mengesahkan telah menahan tujuh individu dipercayai terlibat dengan kegiatan keganasan dalam satu operasi di Selangor dan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tangkapan yang dibuat Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Khalid, tujuh yang ditahan termasuk empat warganegara Yaman, seorang rakyat Indonesia, seorang rakyat tempatan dan seorang warganegara Asia Timur.

“Tangkapan pertama pada 21 Februari melibatkan seorang warganegara Malaysia dan seorang warganegara Indonesia, masing-masing berusia 41 dan 28 tahun bekerja sebagai juruteknik kilang dan petani di Kepong.

“Suspek warganegara Indonesia itu pernah diusir dari Turki pada Jun 2016 setelah ditangkap ketika cuba menyusup masuk ke Syria untuk menyertai kumpulan Daesh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Khalid lagi, hasil soal siasat mendedahkan suspek mendapat arahan daripada seorang individu untuk melancarkan serangan menggunakan bom kenderaan (VBIED) berskala besar di negara ini.

“Suspek warganegara Asia Timur yang berusia 37 tahun pula ditangkap pada 23 Februari di Petaling Jaya.

“Suspek disyaki menganggotai sebuah kumpulan pengganas dari Asia Timur yang menjadikan Malaysia sebagai tempat transit dan perlindungan,” ujarnya.

Sementara itu, empat lagi suspek ditahan pada 26 Februari di Serdang dan Cyberjaya pula disyaki menganggotai kumpulan pemberontak di Yaman.

Siasatan awal mendapati mereka juga terlibat dalam aktiviti sindiket pemalsuan dokumen perjalanan.

“Turut dirampas dalam operasi tangkapan ini termasuk pelbagai passport antarabangsa dan sejumlah wang tunai bernilai RM270,000 dari pelbagai mata wang asing yang dipercayai digunakan untuk disalurkan kepada kumpulan pemberontak,” jelasnya lagi

Enam daripada tujuh suspek akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747), manakala seorang lagi ditahan di bawah Akta Imigresen Malaysia 1959/63. -Sinar Harian