KUALA LUMPUR: Kira-kira empat individu cedera selepas kenderaan dinaiki mereka dilanggar sebuah bas Rapis KL yang dalam perjalanan dari Kampung Keramat menghala ke MRR2, sebentar tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, lapan kenderaan membabitkan sebuah bas dan tujuh kereta terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 8 malam tadi.

Menurutnya, kemalangan itu bermula di hadapan bangunan Perusahaan Getah (RISDA) Jalan Ampang , di sini dan berakhir di simpang Jalan Ampang atau MRR2.

Katanya, semua mangsa dalam proses membuat laporan polis dan pemandu bas berkenaan berada di Hospital Ampang bagi rawatan lanjut.

“Pemandu bas berkenaan mungkin ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pegawai penyiasat masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu. Masih belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai perkara itu (tangkapan),” katanya – berita harian