Oleh: Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Tujuh sahabat individu termasuk seorang remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Taiping, hari ini kerana menculik pelajar dan meminta wang tebusan RM3 juta.

Ketujuh-tujuh tertuduh ialah S. Ramesh, 21; S. Elangovan, 29 ; P.Thiban, 20; H.Gobinath, 36; Saravanan, 33; S.Simon Lazarus, 22 dan remaja lelaki berusia 17 tahun.

Tertuduh dilihat hanya mengangguk kepala tanda faham setelah pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Mohd. Hairol Jemain.

Namun tiada pengakuan direkodkan daripada ketujuh-tujuh tertuduh.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa mencapai niat bersama bagi maksud mendapatkan wang tebusan sebanyak RM3 juta telah melarikan dan mengurung mangsa yang merupakan pelajar berusia 17 tahun.

Mereka semua didakwa telah melakukan perbuatan tersebut pada kira-kira pukul 11 malam, 2 September lalu di hadapan Sekolah Menengah Kamunting Bakti dekat sini.

Pendakwaan terhadap tujuh lelaki itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Azrul Faidz dan Safiyatun Ahmadun mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Thiban diwakili peguam J Matthews, manakala Gobinath dan Saravanan diwakili peguam P Ravi dan tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh kerana pertuduhan ke atas mereka menbabitkan kesalahan serius yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup.

Mohd Hairul kemudian menetapkan 21 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, kesemua tertuduh dibawa ke mahkamah pada kira-kira pukul 2.45 petang dengan menaiki lori yang dikawal ketat oleh pasukan polis.

Pekarangan mahkamah di sini dipenuhi oleh ahli keluarga tertuduh dan beberapa waris mangsa culik itu yang mahu mengikuti perkembangan kes culik berkenaan.

Semalam, sebuah rangkaian televisyen melaporkan polis memberkas sekumpulan penculik dan menemukan semula sebahagian daripada wang tebusan yang dibayar oleh bapa mangsa.