MANILA: Sekurang-kurangnya tujuh orang maut selepas sebuah pesawat kecil terhempas atas sebuah rumah di utara ibu negara Filipina hari ini, kata media dan pihak berkuasa.

Jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP), Eric Apolonio, berkata tragedi membabitkan pesawat dua enjin Piper 23 Apache kendalian syarikat Lite Air Express itu berlaku sebaik ia berlepas dari sebuah lapangan terbang kecil berhampiran.

“Ketika nahas, pesawat ini membawa enam orang termasuk dua juruterbang dan sedang dalam penerbangan ke Laoag di barat laut Luzon.

“Berikutan tragedi ini, penerbangan semua pesawat dikendalikan Lite Air Express digantung sementara siasatan diselesaikan,” katanya.

Stesen radio dZMM serta CNN Filipina melaporkan tujuh orang termasuk enam orang dalam pesawat itu maut

Sementara itu, jurucakap polis Filipina, Ketua Superintendan John Bulalacao, berkata siasatan mendedahkan kapal terbang itu berlepas dari landasan di lapangan terbang Plaridel dan terhempas di kawasan kediaman.

Bagaimanapun, polis dan CAAP tidak memberikan butiran mengenai mangsa. – Reuters