IPOH: Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) menyita tujuh mesin sebuah kilang membuat perabot di sini, hari ini kerana beroperasi tanpa lesen yang sah di bawah Enakmen Industri Berasaskan Kayu (EIBK).

Walaupun mendapat kelulusan khas dari Malaysia Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) untuk terus beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tetap melakukan kesalahan kerana mengikut peruntukan EIBK, kuasa untuk mengeluarkan lesen adalah kuasa mutlak kerajaan negeri melalui JPNP.

Menurut kenyataan JPNP, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati sebanyak tujuh mesin sedang beroperasi dan tindakan sitaan telah dilakukan di bawah EIBK.

“Dimaklumkan juga, produk akhir bagi kilang ini ialah pembuatan kabinet dapur untuk dieksport ke Amerika Syarikat,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, pihak pengilang memaklumkan bahawa telah mendapat kebenaran beroperasi dalam tempoh PKP berdasarkan rujukan surat dari MTIB bertarikh 13 April lalu.

“Namun, pihak jabatan telah memaklumkan kepada pengilang ianya tetap melakukan satu kesalahan kerana mengikut Peruntukan EIBK, kuasa untuk mengeluarkan lesen adalah kuasa mutlak kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Perak,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lahat, di sini untuk tindakan selanjutnya oleh pihak jabatan.

Menurutnya, pemilik kilang boleh didakwa menjalankan aktiviti tanpa mendapatkan lesen yang sah di bawah Enakmen EIBK yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, katanya, ia hanya akan diputuskan setelah siasatan lengkap dijalankan oleh pihak penyiasat JPNP.