KUALA LUMPUR : Tujuh anggota parlimen Umno menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung kehadiran mereka pada majlis makan malam di kediaman Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali pada 18 Nov lalu.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, anggota parlimen terbabit menafikan mereka “hilang parti’ dan sedang mempertimbangkan kemungkinan menyertai parti lain.

“Tidak pernah sekalipun pendirian sedemikian disebut oleh mana-mana Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) semasa pertemuan tersebut.

“Seperti yang dinyatakan berulang kali sebelum ini, kami tidak akan sesekali keluar Umno apatah lagi lompat parti,” jelas mereka.

Tujuh anggota parlimen itu ialah Ismail Mohamad Said (Kuala Krau), Salim Sharif (Jempol), Jalaluddin Alias (Jelebu), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Azalina Othman Said (Pengerang), Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Anggota parlimen terbabit berkata perbincangan pada malam itu hanya berhubung kait dengan pembangunan di kawasan masing-masing.

Malah, mereka sebaliknya mengajak Azmin menyertai Umno selepas kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai 16 Nov lalu.

“Selain itu, dengan kemenangan besar BN di Tanjung Piai, kami turut mengajak Azmin untuk masuk Umno, kerana terbukti ketika ini rakyat lebih percayakan Umno dan BN,” kata mereka.

Mahathir hari ini ketika ditanya mengenai majlis makan malam pada 18 Nov itu, berkata beliau diberitahu oleh Azmin bahawa beberapa anggota parlimen Umno yang hadir pada pertemuan itu berhasrat untuk menyertai parti lain.

Mahathir mendakwa anggota parlimen Umno itu juga menyatakan sokongan terhadap beliau.

“Saya tanya Datuk Seri Azmin apa dia bincang, dia kata orang Umno ini, mereka sudah ‘hilang parti’, tidak tahu hendak buat apa.

“Mereka tanya sama ada nak masuk parti lain atau tidak. Ada yang membuat kenyataan mereka sokong kepimpinan Dr Mahathir,” kata pengerusi Bersatu itu.

Azmin sebelum ini menyifatkan pertemuan itu sebagai mesyuarat biasa.

Sementara itu Setiausaha Agung Umno Annuar Musa menerusi Twitter berkata kenyataan Mahathir bahawa MP Umno berkenaan ‘hilang parti’ sebagai fitnah.

“Ia menggambarkan mereka yang terlibat sebagai pembelot, tidak setia dan hilang keyakinan pada parti sendiri.

“Saya yakin 16 ahli parlimen BN yang diundang ke rumah Azmin baru-baru ini adalah anggota parti yang setia,” kata Annuar.

Tambah beliau, sebahagian daripada mereka turut memaklumkan kepadanya sebelum menghadiri pertemuan itu.

“Azmin atur pertemuan itu, menggunakannya untuk membodek perdana menteri sebagai langkah menyelamatkan dirinya,” jelas beliau.