IPOH: Sebanyak tujuh pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) menerima GeraN Projek Komuniti NGO berjumlah RM 46,300 bagi memantapkan lagi Pelan Tindakan Strategik Perak (PTS) yang telah dilancarkan pada September tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hasan berkata, geran tersebut merupakan inisiatif PTS yang bertujuan melahirkan ejen perubahan di kalangan NGO di negeri ini.

Menurut beliau, kesemua tujuh pertubuhan itu dipilih setelah melalui proses penapisan yang diketuai oleh badan-badan NGO serta ketua-ketua jabatan negeri untuk memastikan ketelusan dan impak langsung kepada masyarakat setempat melalui geran yang diberikan.

“Mereka telah melalui empat siri latihan peningkatan pembangunan kapasiti yang bermula sejak Oktober lepas berkenaan dengan aspek komunikasi berkesan, pengurusan projek, pengurusan kewangan, penjenamaan sendiri, penjanaan sumber kewangan untuk menjadi NGO yang lebih kompeten.

“Selepas itu, kertas kerja mereka akan dinilai pula samada ia akan dapat menyentuh dan memberi kesan terhadap sembilan bidang fokus PTS 2016-2020 termasuklah impak kepada sosial, hal ehwal keagamaan, belia dan pembangunan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan itu di Bilik Unit Perancang Ekonomi (UPEN) di Bangunan Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Katanya lagi, hanya tujuh daripada 12 NGO yang terpilih untuk menerima geran bagi menggerakkan pelan masing-masing dan dinilai dari lima aspek utama termasuk objektif jelas, keberhasilan memberi impak tinggi, kaedah dan proses efektif, sumber dan pengurusan kewangan telus serta kelestarian program.
Selain itu, Samsudin berkata, pihaknya juga akan meneruskan program seumpama itu Mac ini dengan tema “Memperkasakan Golongan NGO” dengan memperbanyakkan pelbagai jenis kemahiran dan kepakaran secara lebih terperinci.

“Bagi NGO yang terpilih, pemberian geran ini bukan bererti kita tidak akan memantau perkembangan cadangan mereka untuk pastikan matlamat tercapai,” ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pengadil Bolasepak Kinta Tengah, Badrul Ashraf Abu Bakar, 40, berkata pemilihan pertubuhannya sebagai penerima geran merupakan satu penanda aras untuk menggerakkan kempen secara lebih efektif.

Beliau memberitahu, pihaknya akan melaksanakan Kempen “Sahabat Do Respect” yang menekankan konsep menghormati, fair play dan etika penyokong atau pemain bolasepak ketika berada di dalam dan luar padang.

“Ianya amat penting terutama lagi kebelakangan ini kita banyak mendengar budaya tidak sihat di kalangan sesetengah penyokong kelab bola sepak,” katanya sambil menambah, kumpulan sasaran kempen ialah kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

Badrul yakin dengan keahlian seramai 35 orang yang berpengalaman dari segi peraturan dan konsep sukan yang berkualiti kempen tersebut akan berjaya dilaksanakan di seluruh negeri dengan kaedah dan persekitaran yang lebih kondusif.

46bd427f-e0ce-4576-bc2b-2e38710ad516