KUALA KANGSAR– Dua orang anggota polis antara individu yang terlibat dalam kemalangan qelibatkan sebuah lori tangki muatan simen dan bas ekspres di Kilometer 257.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Terowong Menora pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Assisten Komisioner Razali Ibrahim, kemalangan yang berlaku pada jam 3.30 petang itu menyebabkan tujuh orang termasuk pemandu bas dan lori mengalami cedera ringan.

Kesemua mangsa iaitu empat lelaki dan tiga wanita dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati lori tangki dari arah selatan menghala ke utara hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar guardrill tengah jalan, lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh bas yang menghala ke selatan.

“Kemalangan ini turut melibatkan dua anggota polis Kuala Kangsar, seorang darinya sedang bercuti dan dalam perjalanan menunaikan umrah, seorang lagi juga bercuti dan mahu balik ke Sabah.

“Kedua-dua mereka berada dalam bas dan menuju ke Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Kemalangan itu turut mengakibatkan aliran trafik di 257.3, Lebuh Raya Utara Selatan dari kedua-dua arah sesak lebih lapan kilometer.