Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Tujuh orang termasuk seorang warga emas Orang Kelainan Upaya (OKU) berdepan detik mencemaskan apabila terperangkap dalam kediaman mereka berikutan banjir di Jalan Ehsan,Kampung Salak Baru,Trong,dekat sini pada petang Sabtu.

Dalam kejadian sekitar 5 petang itu, kesemua mangsa dipercayai terperangkap apabila rumah mereka ditenggelami air dan gagal keluar untuk menyelamatkan diri.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taiping,Penguasa Bomba Kamarulhisham Jamaluddin berkata antara tujuh yang terperangkap adalah seorang wanita warga emas OKU, dua kanak-kanak perempuan, seorang lelaki dewasa dan tiga perempuan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian kami mendapati kesemua tujuh mangsa dalam rumah tersebut tidak dapat keluar kerana kedalaman air pada ketika itu mencecah hampir 1.5 meter (hampir mencecah paras pinggang).

“Justeru, anggota BBP Taiping telah mengusung mangsa OKU tersebut keluar daripada rumah manakala penghuni yang lain dipimpin keluar ke tempat yang lebih selamat,”katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Sabtu.

Jelasnya, pihak BBP Taiping telah menempatkan kesemua mangsa ke rumah saudara mara yang berhampiran.

“Kami menerima panggilan sekitar 5.08 petang dan operasi tersebut memakan masa selama tiga jam, tamat sepenuhnya dalam 7.43 petang,”ujarnya lagi.