PANTAI REMIS: Tujuh pelantar ikan musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Hai San, di sini, 2.10 petang Khamis.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.17 petang.
Menurutnya, bertindak daripada aduan itu, pihaknya menghantar sepasukan anggota bersama jentera ke lokasi.

“Sebaik tiba anggota mendapati pelantar sudah terbakar dan lima daripada itu terbakar 95 peratus manakala dua lagi yang juga tempat menempatkan tangki simpanan minyak musnah 70 peratus,” katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja pemadaman dijalankan dengan bantuan BBP Sitiawan dan Pasukan Bomba Sukarela Bagan Panchor.

Beliau berkata, operasi diketuai Ketua BBP Pantai Remis Amir Ahmad.