IPOH: Tujuh lelaki didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah terlibat dalam pergaduhan di Stadium Perak Ahad lalu.

Kesemua mereka didakwa melakukan gaduh gempar setelah tamat perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di antara pasukan Perak dan JDT, kira-kira 10.50 malam di Pintu F stadium tersebut.

Semua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Mohd Noramin Anuar, 29; Wan Nazirul Shahpri Wan Mazran, 23; Daim Mokhtar, 18; Muhammad Afif Ashrani Muhsin, 24; Muhammad Arif Ashraf Muhsin, 21; Mohd Mansur Mat, 28, dan Muhammad Aizat Ariff Fadilah, 25, mengaku bersalah di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara tujuh hari jika mereka gagal bayar. Kesemua tertuduh bayar denda itu.
Kes itu dikendalikan oleh Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala semua tertuduh diwakili peguam masing-masing.