TAIPING: Sebanyak tujuh rangka anggota tentera New Zealand di Perkuburan Perang Komanwel (CWG), Kamunting, Perak akan dihantar pulang ke negara mereka pada 20 Ogos ini.

Satu upacara penuh istiadat penghormatan terakhir sempena penghantaran pulang kesemua rangka terbabit dari Markas Staf Stesen (MSS) Taiping ke Kem Wardieburn, Kuala Lumpur diadakan pada tengah hari ini.

Seramai 235 anggota dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan wakil dari Kementerian Kesihatan menghadiri upacara tersebut sebagai simbolik penghormatan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada anggota tentera New Zealand yang telah dikebumikan di CWG Kamunting dari 1958 hingga 1960.

Turut hadir memberi penghormatan ialah Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaafar, Ketua Pakar Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Dr Mohd Shafie Othman dan wakil dari Tentera New Zealand, Komander Trevor Leslie.

Istiadat berkenaan diketuai oleh seorang pegawai dan 39 anggota lain-lain pangkat daripada Garison Taiping.

Kesemua tujuh keranda tersebut akan ditempatkan sementara di Dewan Wardieburn, Kem Wardieburn, Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada Kerajaan New Zealand pada 20 Ogos 2018 dalam upacara rasmi.

Tujuh rangka itu ialah milik Lans Koperal Teriwhero Percy yang terkorban ketika berumur 26 tahun, Prebet Robert Malcholm (27), Prebet Bruce Harvey (21), Prebet Toma Feesago (29), Prebet Brian James (23), Prebet Tu Terangi (23) dan Prebet George Whitelock (27).

Kerja-kerja ekskavasi dilakukan di CWG Kamunting manakala proses analisis forensik dan reconciliation di Hospital Taiping.

Keseluruhan proses itu dikendalikan oleh 55 petugas dari ATM, 40 petugas dari agensi kerajaan serta universiti tempatan bersama 23 petugas dari New Zealand.

Selain daripada tujuh rangka itu yang akan dihantar pulang ke New Zealand pada 20 Ogos ini, 16 lagi dari CWG Kem Terendak, Melaka dan empat lagi dari WCG Cheras, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mohd Nizam ketika ditemui selepas upacara berkata, semua rangka yang diserahkan hari ini merupakan mereka yang terkorban semasa perang dunia kedua.

“Ini merupakan kali pertama (penyerahan rangka) dilaksanakan bersama New Zealand dan pertama kali di adakan dalam penuh ketenteraan,” katanya.

Dalam pada itu, wakil adat Mouri tentera New Zealand, Andrew Ruawhitu Pokaia mengucapkan terima kasih kepada ATM kerana proses penghantaran pulang wira-wira mereka.