Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Tujuh sahabat individu termasuk seorang remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Taiping, hari ini kerana menculik pelajar dan meminta wang tebusan RM3 juta.

Ketujuh-tujuh tertuduh ialah S. Ramesh, 21; S. Elangovan, 29 ; P.Thiban, 20; H.Gobinath, 36; Saravanan, 33; S.Simon Lazarus, 22 dan remaja lelaki berusia 17 tahun.

Kesemua mereka yang kebanyakkan memakai baju T hitam dan berseluar jean biru dilihat hanya mengangguk kepala tanda memahami pertuduhan sebaik pertuduhan itu dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Mohd.Hairol Jemain.

Namun tiada pengakuan direkodkan daripada ketujuh-tujuh tertuduh.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa mencapai niat bersama bagi maksud mendapatkan wang tebusan sebanyak RM3 juta telah melarikan dan mengurung mangsa yang merupakan pelajar berusia 17 tahun.

Mereka semua didakwa telah melakukan perbuatan tersebut pada kira-kira pukul 11 malam, 2 September lalu di hadapan Sekolah Menengah Kamunting Bakti dekat sini.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Azrul Faidz dan Safiyatun Ahmadun mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Thiban diwakili peguam J Matthews, manakala Gobinath dan Saravanan diwakili peguam P Ravi dan tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh kerana menbabitkan kesalahan serius yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup.

Mohd Hairul kemudian menetapkan 21 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu kesemua suspek dibawa ke mahkamah kira-kira 2.45 petang dengan menaiki lori polis dengan dikawal ketat beberapa anggota polis.

Ahli keluarga suspek selain ahli keluarga mangsa yang diculik turut memenuhi perkarangan mahkamah bagi mengikuti perkembangan kes culik berkenaan.

Astro Awani pada semalam ( Rabu) melaporkan polis berjaya memberkas kumpulan penculik dan menemui semula RM175,400 daripada jumlah RM300,000 yang dibayar bapa mangsa kepada kumpulan terbabit.

Polis turut memberkas 12 suspek berusia 17 hingga 36 tahun termasuk tiga wanita, namun lima daripadanya dibebaskan dengan jaminan polis dan tujuh lagi didakwa hari ini.