Oleh: Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Sekumpulan penjenayah melakukan jenayah ala ‘Robin Hood’ dengan menyamun tokan-tokan dadah sejak tahun lepas akhirnya tumpas diberkas polis pada 26 Januari lepas.

Kumpulan yang dikenali sebagai Geng Amir Batu 16 yang aktif melakukan rompakan di sekitar Taiping itu turut dianggotai oleh dua bekas askar yang telah ditamatkan perkhidmatan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata kejayaan menahan tujuh anggota Geng Amir itu adalah susulan daripada penangkapan seorang anggota kumpulan yang juga merupakan orang kanan kepada suspek utama atau ketua kumpulan.

“Lelaki berkenaan yang ditahan di sebuah warung kemudiannya disoal siasat dan berpandukan arah beliau, polis telah menangkap seorang lagi lelaki iaitu rakan sejenayah suspek utama di Taman Mewah Kamunting, pada hari yang sama.

“Serbuan di rumah berkenaan turut merampas beberapa barangan yang digunakan untuk merompak dan suspek pertama kemudian membawa polis ke sebuah bengkel kereta di Assam Kumbang yang menemukan sebuah kenderaan Proton Wira Aeroback yang digunakan untuk merompak.

robinhood_malaysia 3“Pada 8.30 malam, hari yang sama, polis telah pergi ke Pasar Malam Taman Lela Kamunting, dan berjaya menangkap suspek utama kumpulan ini,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, dekat sini pada Selasa.

Menurut Mohamad, siastan lanjut ke atas ketiga-tiga suspek tersebut turut membawa kepada penangkapan empat lagi rakan sejenayah Geng Amir Batu 16 itu.

Katanya, hasil penangkapan ketujuh suspek ini polis berjaya menyelesaikan lapan kes jenayah melibatkan kes rompak, khianat dan curi motosikal di sekitar Taiping dan Kamunting.

robinhood_malaysia 4
Jelasnya, antara rampasan dalam penangkapan itu adalah sebuah Proton Wira Aeroback, dua buah motosikal jenis Yamaha dan Honda Ex5 yang dilaporkan hilang, sebilah pedang, dua buah telefon bimbit, sebuah topi keledar dan sebiji bata.

“Modus operandi Geng Amir Batu 16 ini meletakkan tokan-tokan dadah sebagai sasaran utama, maknanya kegiatan jenayah mereka ini ada berkaitan dengan dadah.

“Kesemua suspek berumur dalam lingkungan 20-30 tahun dan berasal dari Perak, saringan ujian air kencing juga mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Methampetamin,”katanya lagi.

Mohamad Taib berkata kumpulan itu juga terlibat aktif dengan pengedaran dadah.

Kesemuanya suspek telah direman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan bagi beberapa repot bersangkut.

“Ekoran daripadanya tertangkapnya kumpulan Amir 16 ini, pihak polis telah berjaya menumpaskan sindiket kumpulan ini dan secara tidak langsung berjaya melumpuhkan kumpulan ini daripada merekrut ahli baru yang kebanyakannya secara positif terlibat dadah,” katanya lagi.