IPOH: Tujuh buah sekolah agama yang dikendalikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) turut memulakan operasi pada Rabu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat.

Sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Izzudin Shah, Sekolah Raja Perempuan Taayah dan Sekolah Raja Dr Nazrin Shah di samping empat Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan iaitu di Kerian, Tapah, Manjung dan Hulu Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, mereka turut mematuhi empat kategori pengurusan bagi memastikan keselamatan warga sekolah, termasuk pelajar, guru dan kakitangan sokongan.

Menurutnya, empat ketegori pengurusan itu ialah pengurusan am, pengurusan prasarana, pengurusan asrama dan pengurusan pembelajaran dan pemudahcaraan sebelum sesi persekolah.

“Purata setiap pelajar dalam kelas dalam makmal adalah 15 orang, setiap meja pelajar dalam kelas telah tertera dengan nama pelajar berkenaan dan tidak dibenarkan tukar atau duduk di meja pelajar yang lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau pembukaan semula Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini, hari ini. Hadir sama Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.

Di samping penyediaan peralatan mengikut keperluan SOP seperti alat saringan suhu badan dan hand sanitizer, setiap guru dan pelajar juga akan dibekalkan dengan topeng mulut dan hidung.

Dalam pada itu, Mohd Akmal berkata, Perak tidak menolak kemungkinan untuk membuka semula maahad tahfiz lebih awal daripada yang bakal diumumkan kerajaan pusat.

Menurutnya, buat masa ini, hanya sekolah tahfiz yang mempunyai calon peperiksaan sahaja telah dibuka mulai hari ini.

“Buat masa ini kita ikut Kementerian Pendidikan dan sekolah tahfiz yang mempunyai calon SPM sahaja dibuka.

“Saya difahamkan Pahang akan mengumumkan untuk pembukaan sekolah tahfiz di seluruh negeri itu dan mungkin kalau dapat dipertimbangkan kalau pihak kerajaan negeri, melalui perkenan Tuanku, mungkin boleh pertimbangkan untuk membuka lebih awal sekolah tahfiz dengan syarat dibenarkan oleh MKN dan juga KKM,” ujarnya.

Setakat ini terdapat kira-kira 70 buah maahad tahfiz yang berdaftar dengan JAIPk di samping 50 lagi masih dalam proses pendaftaran.