GOPENG – Seramai tujuh mangsa terselamat termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dalam nahas membabitkan tiga lori di Kilometer 302.1, Lebuhraya Utara-Selatan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, dua pemandu berusia 25 dan 36 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, bagaimanapun, pihaknya tidak menerima laporan daripada seorang lagi pemandu lori yang terlibat.

“Siasatan awal mendapati lori yang datang dari Kuala Lumpur yang membawa muatan makanan brek secara tiba-tiba apabila lori di hadapannya berhenti.

“Keadaan itu menyebabkan lori di bahagian belakang tidak sempat brek lalu melanggarnya sebelum menggelongsor melanggar lori di hadapannya pula,” katanya.

Katanya, tiada kecederaan serius dilaporkan dan tiada tangkapan dibuat berhubung insiden itu.

-SinarHarian