TANJUNG MALIM – Seorang tukang jahit warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Slim River dekat sini sebentar tadi atas tiga pertuduhan menggalakkan keahlian, menyokong ideologi dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh antara bulan Mei hingga Jun lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Rino Kaswara Kasmar, 34, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan pertama, Rino Kaswara didakwa menggalakkan keahlian Kumpulan Pengganas Mujahideen Indonesia Timur dan Daesh melalui aplikasi Telegram di dalam kumpulan perbualan Anshahrulkhilaafah of Filibin-Indonesia dengan menggunakan nama Rijal Mujahideen Minangkabau.

Kesalahan tersebut dipercayai dilakukan di di Medan Niaga, Jalan Pasar dekat sini antara 2 Mei hingga 12 Jun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130G (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Rino Kaswara juga didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan berbaiah melalui aplikasi Telegram di dalam perbualan kumpulan, nama dan lokasi yang sama antara pukul 11.36 hingga 11.39 malam pada 2 Mei lalu.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 130 J (1) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tertuduh boleh dipenjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun, denda atau boleh dirampas mana-mana harta jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa memiliki sebuah telefon bimbit yang mengandungi bahan-bahan berunsur perbuatan keganasan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Telefon bimbit tersebut berada dalam milikan tertuduh kira-kira pukul 12.45 tengah hari di Bazar Majlis Daerah Tanjung Malim, Jalan Pasar dekat sini pada 12 Jun lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 130 JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan mana-mana item tersebut.

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Syalia Ain Zainuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Intan Nurul Farena menetapkan tarikh 7 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – K! ONLINE