SERI ISKANDAR: Seorang tukang kebun sekolah ditahan di Tanjung Belanja, Parit dekat sini semalam selepas dipercayai mengintai seorang wanita yang juga jirannya ketika sedang mandi.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan selepas mangsa berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pembantu tadbir sebuah sekolah menyedari perbuatan tukang kebun berkenaan pada jam 6.20 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata sebaik menyedari diri diintai, mangsa terus membuka tingkap bilik airnya dan nampak dengan jelas muka lelaki yang mengintainya.

“Mangsa terus menjerit dan suaminya yang berada di dapur terus buka pintu belakang rumah dan turut melihat lelaki berkenaan tergesa-gesa mahu buka pintu belakang rumahnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, suami mangsa kemudian memarahi lelaki terbabit namun suspek nafi mengintai dan mangsa membuat laporan polis.

“Hasil siasatan awal polis, mangsa mendakwa sudah lama mengesyaki suspek mengintai tetapi tiada bukti dan pada kali ini mangsa nampak jelas muka lelaki terbabit yang berjiran dengannya.

“(Siasatan di Lokasi kejadian mendapati bahagian dapur rumah mangsa bertentang dengan bahagian dapur rumah mentua suspek yang sudah didiami hampir 19 tahun,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, pemeriksaan polis turut menemui kesan umpil pada besi aluminium tingkap bilik air mangsa dan susulan kejadian itu suspek ditahan di hadapan rumahnya jam 10.15 pagi semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana perbuatan mengaibkan.

“Ujian air kencing terhadap suspek juga sudah dijalankan dan hasilnya didapati positif syabu selain semakan turut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya – berita harian