KLANG: Seorang tukang masak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh ibu mertuanya pada bulan lepas.

Lim Bu Kwang, 43, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Tertuduh didakwa membunuh Ooi Swan Hong @ Ng Swan Foong, 70, di rumahnya (tertuduh) di Taman Telok Pulai di sini, pada sebelah pagi antara 25 Okt hingga 28 Okt lepas.

Jika sabit kesalahan, Lim yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan boleh dihukum mati mandatori.

Rozianti menetapkan 18 Dis depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, laporan forensik dan laporan dari Jabatan Kimia.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amira Abdul Aziz sementara tertuduh diwakili peguam Ethan W. H Tan dan Gerard Lazarus.

Media sebelum ini melaporkan mangsa meninggal dunia pada 3 Nov lalu, selepas seminggu dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini dan punca kematian wanita warga emas itu adalah disebabkan kecederaan pada kepala berpunca daripada trauma benda tumpul.

— BERNAMA