IPOH: Seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh tuduhan memperdagangkan tujuh wanita warga Thailand untuk dieksploitasi bagi aktiviti seksual di sebuah pusat terapi bekam di sini.

Fong Kar Choon, 28, mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu di hadapan Hakim S Indera Nehru.

Tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan itu di No 39-39A, Pusat Terapi Bekam Kelly, Lapangan Symphony Business Park, Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan bermula jam 10 pagi hingga 2 pagi, antara 29 Disember tahun lalu sehingga 15 Ogos lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Hakim Indera Nehru membenarkan jaminan keseluruhan RM70,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh dan menetapkan 23 Disember ini untuk kes itu disebut semula.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md Yusof manakala tertuduh diwakili Mahinderjit Singh.