TEMERLOH : Seorang tukang masak yang didakwa merogol, meliwat dan memasukkan objek ke dalam kemaluan tunangnya berdepan hukuman penjara maksimum 70 tahun jika disabitkan kesalahan selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Mohamad Syirazi Anuar Mohd. Rosli,21, didakwa atas tiga pertuduhan iaitu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara serta sebatan jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Mohamad Syirazi Anuar

mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan tanpa kerelaan mangsa yang berysia 18 tahun di dalam bilik sewa belakang sebuah kedai makan di Paya Pulai di sini pada kira-kira pukul 9.30 malam pada 13 September lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabie tanpa

persetujuan mangsa pada tarikh yang sama di bilik sewa belakang sebuah kedai makan di Paya Pulai.

Dalam kertas pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa memasukkan objek ke dalam vagina mangsa tanpa persetujuan mangsa pada tarikh yang sama di bilik sewa belakang sebuah kedai makan di Paya Pulai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asyikin Nor Azhar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nor Asyikin menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan sebelum tertuduh memohon rayuan dengan alasan datang ke Temerloh untuk bekerja mencari rezeki halal dan masih menanggung ibu bapa di kampung.

Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa.

Mahkamah menetapkan 14 November ini bagi sebutan semula kes.

– UTUSAN ONLINE