Kerjanya dilihat mudah dan mungkin bukan gah mahupun menjadi pilihan ramai namun silap haribulan, boleh naik angin dibuatnya.

Itulah kerjaya seorang tukang urut. Tarik angin, tekan urat, lipat otot belikat dengan penuh sabar dan ketekunan.

Anita Abu Bakar,45 merupakan salah seorang tukang urut tradisional Melayu yang bukan calang-calang orangnya.

 Wanita besi yang berkecimpung dalam bidang ini sejak 15 tahun lepas berkata antara inspirasinya untuk meneruskan kerjaya tersebut untuk adalah demi memberi contoh kepada rakan-rakannya yang lain.

“Saya sebenarnya amat bertuah kerana terpilih sebagai salah seorang peserta di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan berpeluang mempelajari teknik urutan tradisional Melayu sehingga mendapat Sijil Kemahiran Malaysia tahap 3.

“Selepas saya menyedari potensi dan pendapatan yang boleh dijana dalam bidang ini saya mula memanggil rakan-rakan saya untuk menyertai saya,agar mereka boleh hidup berdikari,”katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di Karnival Usahawan Perak di Lubuk Timah Hotspring baru-baru ini.

Katanya, kebanyakan kawan-kawan seperjuangannya kini merupakan kaum ibu tunggal dan tidak mempunyai pekerjaan tetap sebelum ini.

Anita yang menjalankan perkhidmatan secara bergerak berkata kini beliau turut tumpang gembira apabila kesemua rakan-rakannya telah diiktiraf oleh pelbagai agensi kemahiran antaranya adalah Lembaga Pembangunan Keluarga dan Negara ( LPPKN ).

Jelasnya,keputusan beliau memilih teknik urutan ini sebagai pendapatan utamanya adalah sesuatu yang amat tepat dan beliu akan terus mengalakkan lebih ramai orang menyertainya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata dalam masa sebulan beliau boleh memperoleh purata sebanyak RM5,000 dan kadangkala melebihi angka itu.

“Mungkin jumlah tu tak lumayan tapi daripada duduk kat rumah tak buat apa-apa, apakata kita ringankan tulang belajar sikit kemahiran yang boleh mendatangkan pendapatan,bukan?

“Harapan saya, agar lebih banyak ibu tunggal atau surirumah menyahut cabaran ini dan sesiapa yang berminat bolehlah menyertai pusat urutan kami dan menghubungi saya di 012-5191-937.

“Insya Allah kami boleh membimbing anda sehingga mendapat sijil kemahiran secara perlahan-perlahan,”katanya.

Beliau ditemui dalam Karnival Keusahawanan Perak bertempat di Lubuk Timah Hotspring and Resort di Simpang Pulai baru-baru ini.

Pengarah Pemasaran Pusat Rekreasi Lubuk Timah, Hazarina Mohamed Kamar berkata pihaknya sentiasa menyokong sebarang penganjuran program yang akan mengetengahkan para usahawan tempatan di negeri ini.

“Kami cukup berharap agar lebih banyak usahawan terutamanya yang ingin mempromosikan produk dan perkhidmatan tempatan agar lebih menonjolkan diri dan mencari ilmu dalam bidang keusahawanan.

“Sentiasa rajin dan jangan segan menimba ilmu dari mereka yang berpengalaman,baik mereka dari Industri Kecil dan Sederhana ( IKS ) atau mana-mana yang baru sahaja hendak melangkah dalam dunia perniagaan,”ujarnya.