KUALA KURAU – PKR Perak tidak akan teragak-agak menukar mana-mana ketua kampung lantikan parti itu yang gagal menepati piawaian kualiti perkhidmatan ditetapkan kerajaan negeri Harapan.

Setiausaha PKR Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, amaran itu diberikan bagi memastikan setiap ketua kampung dan jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dilantik benar-benar memberikan perkhidmatan berkesan kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, dalam tempoh setahun ketua kampung dilantik, pihaknya mengakui ada sistem pemantauan sistematik yang dilaksanakan kerajaan negeri Harapan bermula dari peringkat penghulu mukim, pejabat daerah, pusat khidmat Adun dan Parlimen setiap kawasan.

“Bagaimanapun, memandangkan kesemua mereka masih baharu, kita akan beri peluang untuk memperbaiki kelemahan terlebih dahulu melalui penyediaan siri latihan dan bengkel berterusan untuk diikuti mereka.

“Sekiranya mereka masih tidak dapat memberikan kualiti perkhidmatan diharapkan rakyat, parti dan kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk menukar mereka pada masa hadapan,”katanya kepada media pada majlis penyerahan Jalur Gemilang Peringkat Dun Kuala Kurau sempena Hari Kemerdekaan 2018 di sini hari ini.

Abdul Yunus yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, pihaknya turut menyarankan ketua kampung bertugas dengan penuh keikhlasan dan kejujuran sekaligus mengelakkan berlaku sikap pilih kasih dan sifat ingin balas dendam.

Menurutnya, selaras kewujudan kerajaan baharu Harapan, kesemua ketua kampung diminta untuk membuka lembaran baharu dan memberi perkhidmatan seadil mungkin kepada semua golongan masyarakat.

“Saya turut sokong cadangan pelantikan ketua kampung dalam kalangan masyarakat Cina untuk menyelia kawasan perkampungan Cina di Perak pada masa depan.

“Di Dun Kuala Kurau, terdapat banyak kampung yang majoriti diduduki masyarakat Cina dan perlantikan ketua kampung dalam kalangan komuniti pasti akan melicinkan urusan penyaluran maklumat kepada mereka.

“Namun, perkara itu di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat dan kita akan tunggu,”katanya.

Terdahulu, Abdul Yunus melalui Pusat Khidmat Adun Kuala Kurau menyerahkan sumbangan Jalur Gemilang dan set cop rasmi MPKK kepada lebih 20 ketua kampung Dun itu bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan tahun ini dan melicinkan gerak kerja ketua kampung baharu dilantik – sinar