KUALA LUMPUR 18 AprilĀ – Nampaknya situasi dan masa depan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak kembali tidak menentu apabila sejak malam semalam tular rakaman audio didakwa sebagai salah seorang exco kerajaan negerinya mengkritik beliau.

Menerusi rakaman audio berdurasi 4 minit 22 saat itu, individu berkenaan menzahirkan rasa kurang berpuas hati dengan cara Ahmad Faizal mentadbir Kerajaan Negeri Perak selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya merampasnya daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berdasarkan rakaman tersebut, individu itu juga mendedahkan beberapa perangai Ahmad Faizal yang tidak disenanginya.

“Mesyuarat pukul 10, 10.30 baru datang, mesyuarat pukul 11. Itu SOP (prosedur operasi standard) dia. Dia pun datang, Assalamualaikum, kita mulakan dengan al-Fatihah, kemudian semak satu persatu.

“Tetapi keputusan tiada. Kemudian hujungnya lain-lain hal, orang kata cepatlah, tidak perasan dah pukul 1. Ini helah dia dan setengah (kertas kerja) langsung tidak bawa ke situ (mesyuarat exco),” katanya.

Individu itu juga mendakwa, ada masanya taklimat yang diadakan dianggap sebagai keputusan mesyuarat exco.

“Saya mengakulah, benda ini masalahnya bukan di exco (Perak) sahaja, even Kabinet (Persekutuan) pun bermasalah. Dua, tiga isu yang saya tengok, Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad) pun tidak reti nak buat, dia nak ‘blame’ sini pula.

“Jadi selama 10 bulan deme orang ini, inilah yang berlaku. Tanya dia (Ahmad Faizal). Program tuanku (Sultan Perak) dilangkaunya (skip),” dakwa individu tersebut.

Mengulas lanjut, individu didakwa sebagai exco kerajaan negeri itu juga memberitahu ada pihak mahu Ahmad Faizal dijatuhkan dan ditukarkan dengan Menteri Besar baharu.

Beliau malah memberi gambaran seolah-olah dirinya mampu menjadi calon Menteri Besar apabila menjelaskan tiada masalah dengan Istana Perak.

“Sekarang ini yang penting lampu hijau daripada Tun (Dr. Mahathir) saja. Hubungan saya dengan istana okay. Dan Tuanku beberapa kali tanya khabar kepada saya, tiada masalah.

“Kerana sampai hari ini, selepas jumpa saya, dia (Tuanku) kata, tidaklah samseng mana pun. Kalau jumpa dia (Tuanku), cium tangan dia, tiada masalah,” ujarnya.

Utusan Online sedang berusaha untuk mendapatkan komen daripada Ahmad Faizal dan exco-exco kerajaan negeri berkaitan rakaman audio yang tular tersebut. – UTUSAN ONLINE

Suara Aziz Bari tu..????

Posted by Iza Karim on Rabu, 17 April 2019