TAMPIN: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Tampin menyiasat aduan tular video dan gambar dalam grup Facebook Den Orang Tampin yang tersebar sejak 13 Mei lalu.

Dalam aduan tersebut, orang awam bimbang melihat seorang kanak-kanak lelaki di hadapan sebuah restoran makanan segera pada waktu lewat malam dan meminta RM2 daripada orang awam.

Menurut sumber, aduan itu bukanlah kali pertama diterima memandangkan pada tahun lalu terdapat aduan sama pernah direkodkan.

“Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu tinggal bersama nenek dan ibunya yang mengalami masalah kesihatan di sebuah taman perumahan di Pulau Sebang.

“PKMD Tampin akan memanjangkan aduan ini kepada PKMD Alor Gajah bagi tindakan selanjutnya,” katanya kepada Sinar Harian di sini, Khamis.

Sumber berkata, nenek kanak-kanak lelaki berkenaan ialah penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Alor Gajah.

Sementara itu, perkongsian di laman sosial kumpulan komuniti setempat itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen termasuk dakwaan individu yang pernah mengenali kanak-kanak lelaki tersebut.

Menurut netizen berkenaan, kanak-kanak berkenaan agak ‘nakal’ dan hidup susah bergantung kepada pendapatan nenek dengan mencari kotak untuk dijual. – Sinar Harian