PUTRAJAYA : Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini membuat laporan polis berikutan penularan gambar di media sosial yang mendakwa ibu pejabat jabatan itu diserbu pendatang asing untuk mendapatkan status kewarganegaraan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPN, Jasri Kasim berkata, laporan polis berkenaan dibuat supaya satu siasatan dijalankan kerana tuduhan yang dibuat di media sosial tersebut boleh menggugat ketenteraman awam dan merosakkan keharmonian negara.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan kerana gambar itu sering ditularkan sejak akhir-akhir ini oleh pihak tidak bertangungjawab sehingga menyebabkan kekeliruan kepada orang awam.

“Tuduhan yang dibuat tersebut adalah tidak benar sama sekali dan akan merosakkan imej serta reputasi JPN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini, hari ini.

Menurut Jasni, gambar-gambar yang ditularkan itu merupakan gambar sekumpulan pelanggan yang hadir ke JPN Putrajaya pada 19 Julai lalu yang dibantu oleh Unit MySel kerajaan negeri Selangor.

“Pelanggan itu merupakan orang awam di Pulau Ketam, Selangor yang mempunyai pelbagai urusan berkaitan pendaftaran termasuk permohonan kad pengenalan serta kelahiran dan tidak terhad kepada permohonan kewarganegaraan sahaja.

“JPN telah dimaklumkan bahawa pelanggan-pelanggan tersebut terdiri daripada warga emas yang mempunyai kesukaran untuk hadir sendiri ke pejabat JPN untuk urusan pendaftaran,” katanya.

Selain itu kata beliau, pihaknya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana gambar yang tular itu sebenarnya pemandangan biasa setiap hari di JPN kerana ramai individu mempunyai urusan rasmi di jabatan itu.

Sementara itu katanya, JPN ingin menegaskan bahawa permohonan kewarganegaraan Malaysia yang diterima oleh jabatan itu bukan tertumpu kepada satu-satu kaum sahaja, malah menerima permohonan daripada pelbagai kaum dan bangsa.

“Permohonan kewarganegaraan hanya diberikan kepada mereka yang layak sahaja dan perlu mengikuti syarat ditetapkan namun, penganugerahan kewarganegaraan adalah tertakluk kepada peruntukan-peruntukan di bawah undang-undang Persekutuan.

“Penganugerah taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi oleh kerajaan kepada warga asing dan ia tidak diberikan sewenang-wenangnya,” katanya