IPOH: Pejabat Menteri Besar Perak menafikan Perintah Berkurung (lockdown) dikuatkuasakan di Daerah Hilir Perak seperti yang tular dalam aplikasi Whatsapp sejak semalam.

Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak sebarang maklumat yang diterima dengan pihak berkuasa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Perak hari ini, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu dan tidak sahih.

“Pejabat Menteri Besar Perak dengan ini menafikan kandungan mesej-mesej yang tersebar sejak semalam,” kata kenyataan itu.

Daerah Hilir Perak mencatatkan 53 kes positif COVID-19 sehingga semalam.