SEORANG tukang sapu di China menggadaikan nyawanya apabila sanggup meniarap di atas bonet hadapan sebuah kereta yang dipandu laju sejauh 13km.

Dia bertindak begitu selepas tidak puas hati dengan pemandu kereta berkenaan yang melanggar peralatan mencucinya.

Segalanya bermula apabila tukang cuci tersebut sedang menyapu di sebuah universiti di Wuhan dan sebuah kereta jenis Skoda terlanggar penyapunya ketika sedang mengundur.

Kedua-dua mereka bertekak berhubung insiden itu dan pemandu berkenaan nekad masuk ke dalam kereta dan terus memandu walaupun lelaki itu berada di atas bonet keretanya, menurut kenyataan di media sosial Biro Keselamatan Awam Wuhan.

Polis berkata tukang sapu tersebut, Mr Ke, melompat ke atas bonet kereta Ms Li yang mahu meninggalkan lokasi kejadian.

Ms Li terus memandu laju walaupun ia membahayakan nyawa pekerja itu.

Ketika berpaut, Mr Ke masih memegang penyapunya yang patah sepanjang 13km perjalanan, kata polis.

Rakaman kejadian luar biasa itu yang dirakamkan oleh seseorang dari dalam kereta yang lalu di situ telah tular di China.

Terkejut dengan tindakan Mr Ke, media di China telah menggelarkannya sebagai ‘Harry Potter street cleaner’.

Biro Keselamatan Awam Wuhan berkata Ms Li akhirnya memandu ke arah Balai Polis Jianqiao.

Polis memutuskan untuk menahan pemandu selama 10 hari dan denda 500yuan (RM301).

Mr Ke tidak mengalami sebarang kecederaan, kata polis. -Mail Online